May 14, 2017

AHP-MSP, BJSS tentukan kejuaraan Piala TNB

Kuala Lumpur (14 Mei 2017): Selepas sekian lama mengimpikan untuk mara ke pentas final Piala TNB Liga Hoki Malaysia, akhirnya AHP-MSP-Thunderbolt berjaya memenuhi impian itu selepas menewaskan Anderson Thunderbolt pada aksi separuh akhir hari ini di Stadium Tun Razak.

Bagaimanapun AHP-MSP tidak berdepan laluan mudah sebaliknya hanya mencatat kemenangan mutlak menerusi penentuan penalti shoot out 4-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 tamat masa sebenar.

Dengan kemenangan itu, AHP-MSP akan bertemu SSTMI Thunderbolt pada aksi final Ahad ini.

SSTMI mara ke perlawanan akhir selepas menundukkan BJSS Thunderbolt 3-0.

Ketua jurulatih AHP-MSP Mohd Sufian Muhammad nyata gembira dengan kejayaan anak buahnya selain memberi pujian kerana berjuang habis-habisan untuk mengesahkan tiket ke final.

"Sudah lama kami menantikan saat ini dan hari ini impian menjadi kenyataan.

"Saya harus beri pujian kepada semua barisan pemain kerana mereka bersungguh-sungguh untuk mencatatkan kemenangan.

"Ini kerana walaupun pada satu ketika sudah mendahului 3-1, tetapi akhirnya perlawanan terpaksa ditentukan menerusi pukulan penalti shoot out.

"Akhirnya kemenangan tetap berpihak kepada kami.

"Terima kasih kepada semua pihak terutama TNB yang banyak memberi sokongan kepada kami sehingga berjaya mara ke final," katanya.

AHP-MSP di depan seawal minit ke-5 menerusi jaringan padang Muhammad Noor Firdaus Rosdi sebelum Muhammad Idris Samad menjadikan kedudukan 2-0 hasil pukulan sudut penalti seminit kemudian.

Tersentak dengan dua gol awal itu, Anderson menggandakan asakan dan akhirnya Muhd Aliff Ikhemal Zamri berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol padang minit ke-30.

Namun Muhammad Noor Firdaus Rosdi terus mengukuhkan kedudukan hasil pukulan sudut penalti minit ke-32.
Anderson nyata tidak mudah menyerah kalah apabila Muhammad Akram Hakkam Jammaluddin merapatkan jurang menerusi jaringan padang minit ke-38 sebelum dia sekali lagi meledak gol  penyamaan minit ke-51 untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti shoot out.


No comments:

Post a Comment